PENGENALAN PROGRAM CelikBM

Program CelikBM merupakan hasil kerjasama strategik dan sokongan daripada Yayasan TM, bertujuan untuk mewujudkan kualiti dan ekuiti pembelajaran dalam usaha menangani isu keciciran pembelajaran, khususnya dalam penguasaan literasi. Inisiatif ini dapat memperkukuh kemahiran literasi asas dalam kalangan murid sekolah rendah, sekali gus meningkatkan minat dan keyakinan mereka dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Hal ini amat penting agar murid lebih yakin dan bersedia menghadapi pebelajaran di peringkat sekolah menengah di mana Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar utama.

Program CelikBM membolehkan murid menguasai kemahiran berbahasa melalui pelbagai aplikasi digital yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja secara dalam talian.  Murid mempelajari Bahasa Melayu secara beransur maju melalui modul pembelajaran yang disediakan. Usaha ini turut dapat membantu guru dalam meningkatkan keberkesanan PdP Bahasa Melayu dan mengupayakan pendidikan digital.  Diharapkan program ini berupaya menjadi platform ke arah merealisasikan hasrat memartabatkan Bahasa Melayu dalam konteks pendidikan.

MATLAMAT PROGRAM CelikBM

1.1      Memperkukuh kemahiran literasi Bahasa Melayu;

1.2     Meningkatkan keterampilan berbahasa;

1.3    Meningkatkan minat belajar terhadap Bahasa Melayu;

1.4    Meningkatkan kesediaan dan keyakinan menghadapi pembelajaran di peringkat sekolah menengah;

1.5    Mengoptimumkan pembelajaran digital – belajar pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

MODUL PEMBELAJARAN PROGRAM CelikBM

Modul pembelajaran dalam program ini terbahagi kepada tiga aras, iaitu Aras 1, Aras 2 dan Aras 3.  Setiap aras terbahagi kepada empat sub-aras yang merangkumi empat modul pembelajaran dalam setiap sub-aras. Modul pembelajaran tersebut membolehkan murid melakukan pembelajaran secara beransur maju (kosa kata – frasa – ayat – perenggan).  Pemahaman murid tentang maksud dan penggunaan setiap kosa kata diperkukuh dengan paparan grafik, diikuti dengan latihan pengukuhan, kuiz penilaian dan permainan bahasa yang menarik. Dalam Program CelikBM ini turut disertakan Buku Cerita BMLearner yang berhasrat meningkatkan budaya membaca dalam kalangan murid. Setiap cerita digital mempunyai ilustrasi yang menarik, audio yang jelas serta pengajaran (moral of the story). Buku Cerita BMLearner disediakan dalam bentuk slaid, flipbook dan video.